Jumaat, Disember 18, 2009

Mesej Dari Laos

Skuad Emas...Malaysia muncul juara bola sepak Sukan Sea 2009 mengakhiri kemarau kilauan emas hampir 20 tahun
Jangkamasa perlawanan akhir selama 90 minit di rasakan terlalu lama dan setiap saat yang berlalu amat mendebarkan. Pasukan Malaysia yang beraksi dengan misi besar untuk mengembalikan maruah yang tecalar setelah kemarau emas hampir 20 tahun dan Vietnam yang turun dengan misi besar untuk meraih emas pertama Sukan Sea dalam acara bola sepak.Walaubagaimanapun, debaran perlawanan akhir acara bola sepak Sukan Sea 2009 di Laos ini akhirnya terungkai apabila skuad Harimau Malaya berjaya mengenepikan pasukan Vietnam 1-0 untuk meraih emas dalam aksi perlawanan yang cukup dramatik. Gol yang terhasil pada minit ke 83 itu (dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol-tak kisahlah bagaimana gol itu terhasil, gol tetap gol ) telah memisahkan Malaysia dan Vietnam. dan telah menabalkan Malaysia sebagai juara, dan sekali lagi Vietnam kempunan meraih emas Sukan Sea.Dan berkumandanglah Lagu Negaraku di Stadium Utama Laos setelah sekian lama bola sepak Malaysia gagal menonjol di persada antarabangsa. Detik manis dan penuh bermakna ini turut diraikan oleh rakyat Malaysia melalui kaca TV secara langsung (ada penonton yang menitiskan air mata), dan jurublog percaya sewaktu artikel ini ditulis, isu ini masih hangat dibincangkan (di kampung,pasar, stesyen teksi, kedai kopi,restoren mamak)

Mengimbau kembali kehadiran Malaysia di Laos,pada peringkat awalnya pasukan ini tidak dberi perhatian dan harapan,lebih-lebih lagi apabila pasukan Malaysia diundi sebaris dengan pasukan Thailand (bekas juara) dan Vietnam. Pasukan ini memikul tugas berat untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir apabila ditumpaskan oleh Vietnam dalam perlawanan peringkat kumpulan. Namun, dengan semangat juang yang tinggi dan berbekalkan semanagat Malaysia Boleh, mereka telah berjaya menewaskan gergasi Asia Tenggara, Thailand dengan keputusan (2-1) dan seterusnya melayakkan diri untuk bersaing di peringkat separuh akhir. Seperti yang kita ketahui, skuad ini akhirnya berjaya membenam pasukan tuan rumah, Laos di peringkat separuh untuk beraksi di pentas akhir.
Di pentas akhir, anak-anak buah K.Rajagobal ini telah membuktikan bahawa dengan semangat juang yang tinggi, tidak mudah mengalah, dengan strategi dan teknik yang berkesan, mereka mampu bangkit menewaskan Vietnam, pasukan yang telah menewaskan mereka pada peringkat kumpulan.Kemenangan ini juga sekaligus menutup mulut jurulatih Vietnam dari Portugal, Henrique Calisto yang mana sebelum perlawanan beliau memberikan komen bahawa pasukannya memilih bertemu Malaysia berbanding Thailand dalam perlawanan akhir kerana ianya akan memudahkan tugas mereka untuk muncul sebagai juara (satu serangan psikologi bersifat memperkecilkan dan merendah-rendahkan keupayaan pasukan Malaysia).

Kemenangan bermakna ini memberi mesej kepada kita bahawa kita mampu mengatasi apa sahaja halangan dan rintangan sekiranya kita komited untuk mencipta kecemerlangan. Kejayaan pasukan bola sepak Malaysia di Laos ini telah menunjuk jalan kepada kita bahawa berbekalkan semangat yang kental, daya juang yang tinggi, tidak mudah berputus asa dan berjuang hingga saat akhir akan mampu membawa kita untuk melakar kejayaan. Sekiranya mereka mampu melakukannya, kita juga mampu...........
(Artikel ini adalah pandangan peribadi jurublog)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan