Khamis, Disember 08, 2011

PP.13.2011 (Perlaksanaan SBPA)


Dokumen pekeliling SBPA yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012 telah dikeluarkan dan disediakan dalam format PDF. Dokumen setebal 29 halaman tersebut boleh dimuat turun di SINI.

Sabtu, November 26, 2011

Selasa, November 22, 2011

Pertandingan Mural Kebangsaan 2011

Sekalung tahniah...warga SMK Bakai bangga atas usaha kalian

Kontinjen Sukan Sea Malaysia telah mencipta sejarah apabila Skuad Bola Sepak berjaya mengesahkan pingat emas dalam genggaman apabila Harimau Muda berjaya membenam Skuad garuda dihadapan penonton lawan dalam perlawanan akhir yang cukup mendebarkan...Pun begitu, SMK Bakai juga telah melakar sejarah tersendiri pada tarikh keramat 21.11.2011 apabila berjaya mendapat tempat ke 8 dalam Pertandingan Mural Peringkat Kebangsaan 2011. Satu pencapaian baik bagi sebuah sekolah luar bandar.Tahniah diucapkan kepada semua guru, staf dan pelajar yang terlibat dalam menjayakan projek ini khususnya kepada Cikgu Mat Daud dan kumpulannya.

Hari Anugerah Cemerlang Unit Pembangunan Manusia PPD


SMK Bakai telah mendapat beberapa anugerah pada majlis yang telah di adakan pada 13 November 2011 di perkarangan SMK Agama Baling, antaranya ialah anugerah kepimpinan asrama, mewakili pasukan bola baling Negeri Kedah ke kejohanan MSSM , penyertaan peringkat kebangsaan (karnival tinju) dan anugerah khas pengelolaan aktiviti peringkat negeri (Bola Baling MSSK) . Majlis disempurnakan oleh Tuan PPD Baling Sik.

Isnin, Oktober 03, 2011


KENYATAAN AKHBAR: PEPERIKSAAN PENILAIAN MENENGAH RENDAH TAHUN 2011

Peperiksaan bertulis PMR 2011 akan berlangsung pada 4, 5, 6, 10 dan 11 Oktober 2011. Seramai 481,147 orang calon telah mendaftar untuk menduduki PMR pada tahun ini di 3,521 pusat peperiksaan yang akan dibuka di seluruh negara. Seramai 35,190 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan tersebut berlangsung. Jadual waktu peperiksaan telah diedarkan ke sekolah-sekolah dan boleh juga dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan di alamat http://www.moe.gov.my/lpm. Calon diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.

Lembaga Peperiksaan
Kementerian Pelajaran Malaysia
27 September 2011

Isnin, September 26, 2011

Kem Perdana Unit Beruniform 2011

Para peserta bergambar bersama-sama barisan jurulatih dan guru pengiring selepas majlis penutupan rasmi kem.
Kem Pendidikan Luar D'Omland Sungai Petani menggamit memori peserta........

Seramai 80 orang pelajar yang mewakili unit beruniform sekolah telah menghadiri dengan jayanya Kem Perdana Unit Beruniform Tahun 2011 yang telah diadakan di Kem Pendidikan Luar D'Omland Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah. Kem anjuran Unit Kokurikulum ini telah berlansung selama tiga hari iaitu pada 24 September sehingga 26 September 2011.

Menurut Penyelaras Kokurikulum SMK Bakai, Encik Md Daud bin Kasim, pada tahun ini konsep kem yang dijalankan ini memberi penekanan khusus kepada aktiviti outdoor, dimana fokus program ialah kearah melahirkan ahli-ahli pasukan beruniform yang mempunyai kekuatan mental dan fizikal, berkemahiran serta mempunyai nilai dan mengamalkan disiplin yang tinggi.

Pelbagai aktiviti telah diikuti oleh peserta sepanjang kem ini dijalankan iaitu aktivitikeselamatan di air dan berkayak, flying fox, pertolongan cemas, kompas dan pandu arah, nigh walk, persembahan kumpulan dan kerohanian.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta telah disempurnakan oleh PK Kokurikulum yang mewakili Tuan Pengetua SMK Bakai.

Rata-rata peserta yang ditemui memberikan maklumbalas positif dan berharap pihak sekolah dapat meneruskan program sebegini pada masa-masa akan datang kerana ianya amat berfaedah dan pelbagai pengalaman dan kemahiran baru diperolehi melalui program ini disamping ianya mampu menjadi landasan penting kearah pembinaan modal insan yang berketrampialan, berdaya saing disamping semangat kerja berpasukan dan nilai -nilai kepimpinan yang berjaya diterapkan sepanjang kem ini.

Pihak sekolah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dan sokongan bagi menjayakan program ini....Terima kasih daun keladi.

Selasa, September 13, 2011

Sisipan Akhbar

SMK Bakai hasilkan bendera sepanjang 300 meter



PARA pelajar SMK Bakai berbangga selepas menyiapkan Jalur Gemilang sepanjang 300 meter yang dipasang di pagar sekolah berkenaan di Baling, baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------
BALING 4 Sept. - Semangat cintakan negara jelas tersemat dalam kalangan guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakai dekat sini, apabila berjaya menyiapkan Jalur Gemilang sepanjang 300 meter sebagai bukti kesungguhan mereka.

Suntikan semangat kemerdekaan yang dihayati oleh 700 pelajar tingkatan satu hingga tingkatan empat sekolah berkenaan itu dibantu oleh guru, penduduk tempatan dan sebuah syarikat swasta mampu merealisasikan hasrat itu.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan, Azizan Abu Bakar berkata, usaha membuat Jalur Gemilang itu yang pertama kali dilakukan oleh sekolah tersebut, membuktikan semangat cintakan negara bermula dari bangku sekolah.

Katanya, pelajar diberi peralatan dan kelengkapan untuk menyiapkan Jalur Gemilang pada waktu sekolah ketika sesi pembelajaran mata pelajaran Sivik dan Seni yang sesuai dengan projek itu.

"Pelajar mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan keseluruhan mengecat kain, melukis dan memasang di sepanjang pagar sekolah bagi membuktikan kesungguhan mereka menyambut kemerdekaan negara," ujarnya di sini baru-baru ini.

Tambah Azizan, semangat berkobar-kobar yang ditunjukkan oleh para pelajar untuk menyiapkan Jalur Gemilang itu melalui kerja secara berpasukan dan hasil kerja mereka diiktiraf oleh guru-guru.

"Kita terap penghayatan kemerdekaan melalui Jalur Gemilang kerana pelajar ada semangat dalam diri dengan menyemai hasil kerja tangan sendiri, sekali gus dapat melahirkan generasi yang faham erti sejarah kemerdekaan," jelasnya.

Menurut beliau, pihak sekolah berhasrat mahu menjadikan projek itu acara tahunan setiap kali menjelang 31 Ogos.



Artikel ini disalin dan ditampal daripada Utusan Online bertarikh 5 September 2011.

Rabu, Ogos 10, 2011

G2S SMK Bakai



Maklumbalas lisan daripada beberapa orang pelajar SMK Bakai pada tahun 2011 setelah menyertai program Guidance to Success yang ke-4 (G2S4) yang berlangsung pada 4-6 Ogos 2011.

Sabtu, Ogos 06, 2011

Program Guidance to Success 2011



Program G2S SMK Bakai berlansung pada 4-6 Ogos 2011,
Program ini adalah program usaha sama Kolej MARA Banting dan sekolah, diselaraskan oleh Unit Kaunseling dan Pengurusan Asrama. Input program meliputi aspek berkaitan akademik dan sahsiah merangkumi aspek kepimpinan, motivasi. jati diri dan aktiviti integrasi.
Dibantu dengan 15 fasilitator yang terdiri daripada pelajar-pelajar universiti luar negara, di harap program ini meninggalkan impak positif di kalangan peserta untuk belajar dengan lebih gigih untuk diri sendiri dan masa depan. Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak khusunya fasilitator program atas usaha murni yang ditabur untuk melihat kemajuan anak bangsa. Kepada peserta diharap dapat mengamalkan segala input dan ilmu yang dicurahkan. Terima kasih kepada semua...

Khamis, Julai 07, 2011

Larian Serentak 1M1S1Malaysia




Pada 2 Julai 2011. seperti yang dijadualkan, seramai 552 pelajar SMK Bakai bersama-sama lebih 4 juta pelajar diseluruh negara bersemangat menjayakan program Larian Serentak 1M1S 1Malaysia. Program ini diadakan selaras dengan perlaksanaan Dasar 1M1S yang diperkenalkan oleh KPM pada tahun ini. Pelepasan peserta disempurnakan oleh En. Jamaluddin bin Ramli NYDP PIBG . Turut menyertai larian ini ialah guru-guru serta staff sekolah.

Selasa, Mei 03, 2011

Majlis Anugerah Akademik PPD BS 2010




Majlis Anugerah Akademik PPD Baling Sik 2010 telah diadakan dengan jayanya pada 26 April 2011 bertempat di SMK Agama Baling. Majlis ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada sekolah -sekolah yang telah menunjukkan peningkatan dan pencapaian dalam peperiksaan awam yang lalu berdasarkan piawai yang telah ditetapkan.

Dalam majlis ini, SMK Bakai telah berjaya merangkul dua anugerah iaitu Peningkatan melebihi 5% berbanding tahun lalu bagi peperiksaan PMR dan SPM. Majlis penyampaian sijil-sijil telah disempurnakan oleh tetamu kehormat iaitu Pengarah IPGM Kampus Darul Aman. Encik Basree bin Bakar, PK Pentadbiran telah menerima sijil-sijil penghargaan bagi pihak Tuan Pengetua.

Ahad, Mei 01, 2011

Baling Sik Naib Juara B. Baling MSSK

Pasukan Bola Baling B18L Daerah Baling Sik membuktikan bahawa mereka wajar dihormati apabila muncul sebagai Naib Johan Bola Baling MSS Kedah yang telah diadakan di Dewan Futsal, Majlis Daerah Baling pada 28-30 April lalu. Pasukan ini yang dibarisi oleh pemain-pemain SMK Bakai selaku Johan Daerah Baling Sik mempamerkan aksi memukau apabila berjaya mengenepikan semua lawan dalam persaingan peringkat kumpulan untuk muncul selaku Juara Kumpulan A.
Pada persaingan peringkat separuh akhir, Pasukan Baling Sik telah menunjukkan jalan keluar kepada Kontinjen Kubang Pasu apabila menang tipis 1-0 dan jaringan ini sudah cukup untuk membawa pasukan Baling Sik bersaing di pentas akhir.
Dalam perlawanan akhir, pasukan Baling sekali lagi bertemu dengan Daerah Kota Setar, pasukan yang pernah mereka kalahkan dalam peringkat kumpulan.Dalam perlawanan ini, pasukan lawan telah menunjukkan strategi pertahanan yang cukup ampuh dengan kawalan-kawalan kemas menyukarkan Daerah Baling Sik memecahkan benteng pertahanan bagi membuat jaringan.Corak permainan pantas dan asakan kemas yang ditunjukkan oleh lawan gagal dibaca dengan baik menyebabkan Daerah Baling Sik membenarkan lawan membolosi 3 gol. Walaubagaimanapun Pasukan Baling Sik selaku tuan rumah tidak memberi laluan mudah kepada lawan, akhirnya berjaya menyumbat 1 gol merapatkan jurang perbezaan gol. jaringan tersebut sudah lewat untuk menghalang pasukan Kota Setar untuk muncul sebagai juara.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Hj. Abd Rashid bin Yusof, PPD Baling Sik dengan diiringi oleh En. Abdul Wahi bin Wan Embun, Tuan Pengetua SMK Bakai selaku Pengerusi Pengelola Kejohanan.





Pemain B18L Daerah Baling Sik Merima medal kemenangan dan sijil pencapaian daripada Tuan PPD Baling Sik

Choral Speaking SMK Bakai (video)



Peserta Choral Speaking sedang membuat persembahan pada
Perhimpunan Bulanan Kokurikulum di Dataran Perhimpunan
Sekolah...

Ahad, April 17, 2011

SMK Bakai Juara Bola Baling MSSD

SMK Bakai yang mewakili Zon Kuala Pegang terus membuktikan keunggulan apabila muncul juara Kategori Lelaki bawah 18 tahun dalam Pertandingan Bola Baling MSS Daerah Baling Sik yang berlangsung di Padang Bola Baling SMK Bakai hari ini. Mendapat bimbingan Cikgu Nain Ishak dan Cikgu Rafiqi, SMK Bakai berjaya mencatat kemenangan semua perlawanan menentang wakil Zon Sik, Zon Baling dan Zon Kuala Ketil. Kejayaan ini merupakan kejayaan berganda kepada pihak sekolah selepas pasukan bawah 15 tahun bolasepak berjaya muncul sebagai juara daerah pada minggu lalu. Majlis penyampaian sijil dan medal kemenangan disempurnakan oleh Tuan Pengetua SMK Bakai selepas pertandinagn berakhir.

Dengan kemenangan ini, pasukan SMK Bakai akan mewakili Daerah Baling Sik ke Pertandingan peringkat Negeri yang dijadualkan berlangsung di Baling pada minggu hadapan. Sekalung penghargaan diucapkan kepada barisan jurulatih,pengurus, pemain dan semua pihak yang menghulurkan sumbangan tenaga dan masa dalam usaha untuk memastikan gelaran juara terus berada dalam genggaman SMK Bakai.Kepada pemain diharap dapat tingkatkan lagi prestasi dan fokus bagi menghadapi persaingan di peringkat yang lebih tinggi.......Tahniah

Selasa, April 12, 2011

SMK Bakai Juara Bolasepak Bwh 15 MSSD

Pasukan Bolasepak Bawah 15 tahun SMK Bakai muncul sebagai juara Bolasepak MSS Daerah Baling Sik tahun 2011 selepas mencatat kemenangan dalam perlawanan akhir yang berlansung di padang SMK Tanjung Puteri, Kuala Ketil. Mewakili Zon Kuala Pegang, pasukan yang tidak diletakkan harapan tinggi pada peringkat awalnya, telah berjaya melepasi pusingan awal tanpa sebarang kekalahan.Mendapat bimbingan jurulatih, Encik Mansor bin Ibrahim, pasukan ini berjaya menewaskan pasukan SMK Jerai 2-1 dalam perlawanan akhir. Terdahulu, SMK Bakai berjaya menundukkan SMK Gulau 3-1 pada peringkat separuh akhir. Majlis penyampaian hadiah telah telah diadakan selepas berakhir perlawanan akhir bagi Kategori bawah 18 tahun dan disempurnakan oleh Puan Pengetua SMK Tanjung Puteri , petang tadi.

Sementara itu, bertempat di SMK Bakai telah diadakan Pertandingan Bola Baling MSS Menengah Peringkat Zon Kuala Pegang bagi kategori 18 tahun perempuan. Dalam pertandingan ini, pasukan SMK Bakai sekali lagi menunjukkan taring apabila mencatat kemenangan bersih dalam semua perlawanan dan muncul sebagai sekolah juara bagi Zon Kuala Pegang.

Seluruh warga sekolah merakamkan sekalung tahniah kepada barisan jurulatih, guru pengiring dan semua pihak yang menyumbangkan tenaga, masa dan wang demi kejayaan manis SMK Bakai.

Sabtu, April 09, 2011

Kursus Kepimpinan Pelajar 2011

Seramai 80 pelajar yang terdiri daripada Pengawas sekolah, pengawas PSS dan ketua pelajar telah terpilih sebagai peserta Kursus Kepimpinan Pelajar SMK Bakai 2011. Program yang di selaraskan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah diadakan bertujuan untuk memantapkan jatidiri dan motivasi peserta dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin di sekolah. Program dimulai dengan sesi Suaikenal sebelum slot kursus diisi oleh Encik Zulkifli bin Ahmad dengan ceramahnya Tanggungjawab Sebagai Pemimpin di Sekolah. Selepas itu, sesi diteruskan dengan sesi LDK , Pengendalian Mesyuarat sebelum peserta berhenti makan tengahari dan solat zohor.

Sesi pada sebelah petang diteruskan dengan sesi pembentangan hasil kerja kumpulan. Majlis ditutup rasmi jam 4.30 petang oleh PK HEM, En. Azizan Abu Bakar.



Sessi taklimat perlaksanaan kursus


Gerakerja dalam Kumpulan Kecil





Majlis Perasmian Penutup

Program English Is Easy

Bertempat di dewan Makan Asrama, SMK Bakai telah diadakan satu program Motivasi Bahasa Inggeris. Program ini dikendalikan oleh fasilitator jemputan dari SMK Gulau, iaitu Encik Nadzeri Husin , seorang guru Bahasa Inggeris yang cukup dikenali di sekitar Daerah Baling Sik.

Dalam program ini, peserta-peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tingkatan Tiga telah didedahkan tentang teknik dan tip-tip penting untuk menguasai Bahasa Inggeris secara mudah.

Program yang dikendalikan secara minds on dan hands on dalam suasana santai melalui tayangan multimedia dan bimbingan guru-guru yang turut hadir sebagai pembimbing. Program 4 jam ini ditutup rasmi oleh Tuan Pengetua. Dalam ucapannya , beliau menjelaskan bahawa program ini merupakan salah satu strategi penambahbaikan yang dilakukan oleh pihak sekolah untuk melonjak prestasi pelajar dan berharap pelajar dapat mengamalkan segala input yang diterima dalam proses pembelajaran harian.

Rabu, Mac 23, 2011

Semakan Keputusan SPM 2010

Keputusan SPM 2010 dah keluar dan calon SPM 2010 boleh mendapatkan slip keputusan masing-masing mulai jam 10.00 pagi. Pastikan segala hutang-hutang dengan pihak sekolah telah diselesaikan sebelum mendapatkan slip. Tahniah kepada yang berjaya dengan cemerlang. Yang tidak berjaya, ingat...jalan kejayaan masih luas terbentang di depan. Kejayaan pasti dapat di genggam bagi sesiapa sahaja yang tidak pernah mengenal putus asa. Keputusan dan pencapaian sedang di analisis oleh Unit Peperiksaan. Maklumat terkini akan dimuatnaik kemudiaan. Bagi mereka yang belum mendapatkan slip keputusan, keputusan juga boleh di semak melalui SMS seperti langkah berikut:

Isnin, Mac 14, 2011

Definisi Sebenar Guru Cemerlang

Guru Cemerlang ialah guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dan sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan bertanggungjawab, khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.

Guru Cemerlang mempunyai ciri-ciri yang berikut dari segi:

a. Peribadi: Guru Cemerlang ialah guru yang mempunyai sahsiah yang terpuji, berketrampilan dan berpegang teguh kepada etika perguruan dan etika perkhidmatan awam serta peka dan prihatin terhadap keperluan pelajar.
b. Pengetahuan dan kemahiran: Guru Cemerlang ialah guru yang menguasai dan menghayati sepenuhnya kandungan mata pelajaran kepakarannya, menjadi pakar rujuk pengajaran dan pembelajaran, bijak mengurus masa, bahan sumber, alat pengajaran dan pembelajaran, mampu mengenalpasti keperluan dan masalah pembelajaran pelajar serta menyediakan program tindakan susulan, berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
c. Hasil kerja: Guru Cemerlang ialah guru yang berupaya meningkatkan hasil pembelajaran (learning outcomes) dan membangunkan potensi pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
d. Komunikasi: Guru Cemerlang ialah guru yang memiliki kemahiran berkomunikasi yang tinggi serta berkemampuan menyampaikan idea dan mesej dengan berkesan dalam pelbagai situasi dan forum.
e. Potensi: Guru Cemerlang ialah guru yang berwawasan, proaktif, mempunyai inisiatif, bersifat responsif dan inovatif dalam rangka menjalankan tugas sebagai pendidik.
f. Sumbangan kepada kemajuan pendidikan negara: Guru Cemerlang ialah guru yang berupaya menjana idea baru dan melaksanakan idea tersebut bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

sumber : Portal Kementerian Pelajaran Malaysia

Selasa, Januari 18, 2011

Perutusan Pengetua 1/2011

Anak-anak ku
Jika hari ini kedatanganmu ke sini
Melalui onak dan duri
Merentasi selut dan lumpur

Tapi, pastikan hari esok
Segalanya kan jadi jalan yang lurus terbentang
Sepertimana permaidani yang indah
Untuk semua warga darsawarsa

Anak-Anak ku
Jika hari ini jalan yang ditempuhi
Direntangi dengan keringat dan butiran air mata

Tapi, pastikan hari esok
Keringat dan butiran air mata itu
Kan menjadi butiran-butiran mutiara
Yang bertaburan dan bersinar
Menjadi cahaya menyinari seluruh mayapada

Anak-anak ku
jauhi diri dari sifat-sifat kedegilan ,kejahatan,
kebencian kederhakaan ,kejumukan
dan semua sifat-sifat yang keji dan dimurkai
Hiasilah diri dengan sifat -sifat mulia , keimanan,
keberanian, ketrampilan, kejayaan, jatidiri
Yang teguh tegak dan terpahat dalam diri
Agar keimanan dan kemuliaan itu diterima abadi di dunia
Dan di akhirat nanti

Abd. Wahi bin Wan Embun
Pengetua
18 Jan 2011

Isnin, Januari 17, 2011

Tahniah PK1

Pelajar harus gigih dan berusaha kuat untuk berjaya.....
Kepada semua guru, teruskan perjuangan dengan iltizam yang tinggi demi kejayaan
anak-anak pelajar.......

Warga SMK Bakai merakamkan ucapan sekalung tahniah kepada Penolong Kanan Kurikulum, Tn. Haji Raman bin Sarip atas perlantikan beliau sebagai Pengetua SMK Kuala Pegang berkuatkuasa 1 januari 2011. Gigih dan tidak jemu menabur bakti di SMK Bakai , Tuan Haji Raman merupakan orang yang bertanggungjawab merintis pembukaan sekolah Bakai yang pada awalnya adalah cawangan SMK Baling.

Sempena perhimpunan rasmi mingguan pada pagi ini, pihak sekolah berbesar hati menjemput beliau untuk menyampaikan ucapan.Dalam ucapan ringkas dan cukup bermakna , beliau mengungkap kembali sejarah perkhidmatan beliau dan suka duka yang dilalui sepanjang berkhidmat di SMK Bakai. Beliau menutup ucapan dengan pesanan kepada semua pelajar agar berusaha dengan lebih kuat untuk mencipta kecemerlangan diri pada masa hadapan. Kepada guru pula, beliau menggesa agar semua terus komited dan konsisten dalam membantu membangunkan potensi anak-anak pelajar SMK Bakai.
Serangkap pantun lama dititipkan bagi mengiringi pertukaran beliau...
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Sabtu, Januari 01, 2011