Pejam celik pejam celik, tahun 2009 telah hampir sampai ke penghujungnya. Ini bermakna tak sampai seminggu saja lagi tahun 2010 akan menyusul. Bagi Negeri Kedah , sesi persekolahan baru akan bermula pada 3 Januari 2009.
Seperti biasa, sesi persekolahan yang baru ini dinanti oleh semua orang dengan pelbagai perancangan dan persediaan. Bagi ibu bapa, sesi persekolahan baru sudah tentu memeningkan terutamanya bagi keluarga yang ahli keluarga ramai kerana pelbagai perbelanjaan persekolahan terpaksa dibuat yang melibatkan peruntukan kewangan yang bukannya sedikit. Sekurang-kurangnya 3 aspek perbelanjaan perlu difikirkan seperti perbelanjaan untuk pembelian pakaian, bayaran-bayaran khas (bayaran tambahan) dan perbelanjaan lain seperti buku-buku dan alatulis. Setiap orang anak dianggarkan RM 300.00. Bayangkan jika 4 orang anak bersekolah, ianya pasti membebankan. Ini belum lagi mengambilkira perbelanjaan tambahan jika anak dapat masuk asrama....lagilah.
Walaubagaimanapun, ibu bapa yang bijak biasanya membuat persediaan awal dengan membuat simpanan dan tabungan dari awal tahun.
Bagi rakan-rakan guru pula, bermulanya sesi persekolahan bermakna bermulanya cabaran melayan pelbagai kerenah pelajar, disamping tugas-tugas biasa berkaitan pengurusan hal ehwal pelajar,ko kurikulum dan P&P. Buku rekod,kertas kerja, headcount, kursus dalaman,borang, rekod. seminar, kursus, pemantauan, mesyuarat dan lain-lain perkara berkaitan pendidikan adalah rutin harian yang perlu ditempuhi dan menuntut persediaan mental dan fizikal.
Harapan kita bersama agar sesi persekolahan 2010 nanti bakal membawa sinar dan harapan baru demi kecemerlangan dan kegemilangan anak-anak pelajar yang kita kasihi. Marilah sama-sama kita kuatkan iltizam, bergerak sederap, senada dan seirama bagi merealisasikan misi murni ini.
Marilah sama-sama kita buktikan...
Jom Balik ke Sekolah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan