Bermula semalam dan hari ini, SMK Bakai menerima lawatan 3 ahli Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Negeri Kedah bagi tujuan mendapatkan maklumbalas dan mengumpul input perlaksanaan uji rintis SKPM 2o1o dan membuat pemeriksaan perlaksanaan program-program pendidikan sekolah.
Lawatan ini dimulakan dengan sesi taklimat rasional dan prinsip perlaksanaan SKPM 2010 kepada barisan pentadbir sekolah. Menurut Ketua Jemaah Nazir Negeri Kedah, berdasarkan maklumbalas dan pandangan yang diterima dalam perlaksanaan instrumen SKPM 2009 , didapati dimensi instumen yang digunakan terlalu meluas dan melibatkan item instumen yang terlalu banyak dan mengelirukan. Sehubungan itu, pada tahun ini Jemaah Nazir telah mengambil pendekatan melaksanakan beberapa pindaan dan penambahbaikan instrumen sedia ada supaya penarafan yang dibuat dapat dipermudahkan, lebih mesra pengguna disamping merangkumi aspek yang lebih holistik dengan pengurangan item instrumen hampir 90% disamping panduan penskoran diberi dalam bentuk deskripsi. Fokus perlaksanaan SKPM 2010 adalah kepada proses dan impak dan memberi ruang kepada pihak sekolah merangka program pembangunan pendidikan sekolah dengan lebih berkesan berdasarkan kepada rumusan skor dan mengupayakan sumber dengan lebih berkesan untuk melonjak pencapaian sekolah ke peringkat lebih tinggi.
Bagi uji rintis perlaksanaan instrumen ini, pentadbir sekolah telah diminta membuat penskoran berdasarkan wajaran yang diberi disamping pihak sekolah diminta menyatakan kelemahan dan kekuatan bagi setiap standard yang dinyatakan. Dapatan ini seterusnya akan dibentangkan kepada Pasukan Petugas makmal NKRA pendidikan bagi tujuan pemurnian dan seterusnya digunakan bagi tujuan penarafan kendiri dan verifikasi Jemaah Nazir.
Pemeriksaan dokumen diteruskan pada hari ini dan pada sesi sebelah petang, Ketua Jemaah Nazir Kedah bersama ahli jemaah nazir mengambil peluang mengadakan satu sesi taklimat khas menjelaskan isu-isu pendidikan terkini dan seterusnya laluan-laluan kerjaya 'fast track'bagi guru melalui guru cemerlang dan seterusnya menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh guru-guru melalui sesi dialog yang diadakan selepas taklimat.
Ulasan jurublog: Mudah-mudahan apa yang dikongsi oleh pelawat dari Jemaah Nazir ini akan menambahkan lagi maklumat baru dan semangat kepada barisan guru untuk terus berkhidmat tanpa jemu tanpa lesu.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan