Selasa, Mac 23, 2010

Kejohanan Bola Sepak Peringkat Zon

Sekadar Seri...



BAKAI, 23 Mac- Pasukan Bolasepak SMK Bakai gagal meneruskan aksi cemerlang seperti perlawanan menentang SMK Agama digelanggang lawan Ahad lalu yang berkesudahan dengan kemenangan bergaya 4-0, apabila hanya mampu mencatat keputusan seri dalam perlawanan bolasepak MSS Peringkat Zon menentang pasukan SMK Jerai petang tadi. Pasukan tuan rumah yang turun dengan jersi merah hitam beraksi baik dan mendominasi sebahagian besar perlawanan pada separuh masa pertama bertindak cemerlang sebaik sahaja wisel permulaan ditiup. Dengan sorakan padu penyokong dan hantaran-hantaran yang cukup kemas, SMK Bakai berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke 5 perlawanan apabila Mohd Jamil berjaya meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan dengan satu jaringan cantik yang berjaya mengelirukan penjaga gol lawan yang terpaku melihat bola menerjah jaring di penjuru kanan pintu gol. Gol semangat ini seolah-olah memberikan satu suntikan motivasi kepada pemain tuan rumah yang tidak henti-henti melancarkan serangan-serangan berbahaya dan bertali arus.

SMK Jerai berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke20 apabila pemain penyerang yang telah bersedia berada dikotak penalti gagal menanduk kemas hantaran silang yang cantik, di mana bola meliar melepasi palang gol yang terbuka luas. Peluang keemasan untuk tuan rumah melebarkan jaringan muncul pada minit ke 23 apabila Mohd Azahar yang hanya berhadapan dengan penjaga gol melepaskan sepakan padu di penjuru kanan pintu gol tetapi penjaga gol lawan telah bersedia untuk menepis keluar . Ketika perlawanan dilihat seolah-olah akan berkesudahan dengan 1-0 pada separuh masa pertama, penyerang lawan bijak mengambil kesempatan membuat sepakan jauh melintasi penjaga gol tuan rumah yang kelihatan terkeluar sedikit dari posisi, bola singgah di tiang kanan pintu gol sebelum melantun ke jaring bagi gol penyamaan.

Perlawanan separuh masa kedua menampilkan aksi-aksi yang kurang meyakinkan daripada kedua-dua pasukan apabila serangan-serangan yang dilancarkan sering dipatahkan oleh lawan masing-masing.Pasukan tuan rumah berpeluang membuat beberapa percubaan ke pintu gol lawan namun gagal mencipta jaringan. Permainan sering terganggu dan dihentikan beberapa kali diakhir waktu perlawanan akibat kecederaan pemain. Kedudukan seri 1-1 terikat hingga wisel penamat dibunyikan. Kedudukan ini agak menyulitkan laluan SMK Bakai untuk beraksi pada peringkat seterusnya sebelum beraksi dalam perlawanan terakhir menentang SMK Kuala Pegang di gelanggang lawan esok.

Jurulatih SMK Bakai (gambar kanan) ketika diminta komen menjelaskan bahawa pasukannya telah memberikan yang terbaik tetapi nasib agak tidak menyebelahi anak-anak buahnya. 'Kita turun dengan harapan besar untuk menang hari ini, tetapi kita gagal melakukannya.Saya berharap anak-anak buah saya cepat melupakan kekecewaan untuk melakar kejayaan pada hari ini dan fokus kepada perlawanan terakhir esok. Ruang kembali terbuka sekiranya kita mampu menang dengan jaringan yang besar, dan saya yakin jika persembahan yang konsisten diberikan,kita mampu melakukannya' tambahnya. Ketika ditanya stategi SMK Bakai bagi menghadapi perlawanan terakhir beliau dengan bersahaja berkata, ' No comment, saya mahu tidur awal malam ini'.

Sementara itu, Pengurus pasukan, Encik Maniraja ketika dihubungi memberi komen ringkas, 'dalam sukan bola sepak, apa saja boleh berlaku kerana bola itu bulat. Nothing is impossible. Kita terima apa sahaja keputusannya esok. Harapan saya pasukan ini dapat memberikan komitmen 100% untuk mencipta kemenangan besar dan seterusnya melayakkan diri untuk kita bersaing di peringkat daerah'.

Merenung jauh memikirkan nasib pasukan disamping cuba mengintai peluang........

Tiada ulasan:

Catat Ulasan