Rabu, Mac 10, 2010

Kejohanan Bola Sepak MSS Peringkat Zon

SMK Bakai 1
SMK SAB 2
Pasukan bolasepak SMK Bakai gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada SMK Syed Abu Bakar dalam perlawanan sulung siri Kejohanan Bola sepak MSS Peringkat Zon yang berlansung pada 10 Mac 2010. Segalanya bermula apabila pemain lawan berjaya melepasi benteng pertahanan dan seterusnya melepaskan tendangan deras ke kanan pintu SMK Bakai yang gagal di tangkap kemas oleh penjaga gol, membolehkan pasukan lawan mendahului pada minit yang ke enam. Tersentak dengan jaringan itu, anak-anak buah Cikgu Nain dengan sorakan padu daripada penyokong-penyokong terus menyusun rentak dan membuat serangan bertali arus, namun sering dipatahkan oleh penjaga gol lawan. Walau bagaimanapun, kem SMK Bakai kembali ceria apabila Mohd Akmal pantas mengambil peluang daripada keadaan kelam kabut di depan pintu gol untuk menolak masuk bola ke mulut gol lawan bagi menyamakan kedudukan pada minit ke 15. SMK Bakai berpeluang sekali lagi untuk berada di hadapan pada minit ke 20 perlawanan apabila Mohd Akmal yang hanya berhadapan dengan penjaga gol gagal melakukan penyudah, apabila tendangan derasnya melambung tinggi melepasi palang gol. Kedudukan terikat seri 1-1 sehingga tamatnya perlawanan separuh masa pertama.

Permainan agak seimbang pada separuh kedua perlawanan dengan bola kebanyakannya berlegar di kawasan tengah padang dan barisan pertahanan SMK Bakai yang kemas sering memerangkap lawan dengan perangkap offside. Pada minit ke 49 perlawanan, Mohd Jamil yang mendapat hantaran silang berpeluang untuk membuat jaringan, namun sepakan lemahnya menyelamatkan pintu gol lawan. SMK Syed Abu Bakar seterusnya pantas membuat serangan balas dan kealpaan barisan pertahanan SMK Bakai membolehkan penyerang lawan melepasi barisan pertahanan dan seterusnya melepaskan sepakan padu dari sudut sukar di kanan pintu gol menggegarkan jaring walaupun cuba ditepis oleh penjaga gol membolehkan lawan mendahului pada minit ke 50. Selepas itu, SMK Bakai yang lebih banyak menguasai perlawanan melakukan serangan bertubi-tubi ke pintu gol lawan namun gagal mencipta jaringan sehingga tamatnya waktu perlawanan.

Cikgu Nain selaku jurulatih ketika diminta memberi komen menyatakan rasa puas hati terhadap persembahan yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya. 'Ini adalah perlawanan pertama dan kita bertemu dengan pasukan yang mempunyai reputasi yang lebih baik ,jadi ada sebahagian pemain yang bermain di bawah tekanan dan di bawah prestasi sebenar. Kita mempunyai peluang tetapi nasib tidak menyebelahi kita' katanya. 'Saya telah mengenalpasti kelemahan-kelemahan pemain dan akan melakukan tindakan pembetulan dengan segera. Saya percaya pemain saya mampu bangkit untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan berikutnya selepas cuti sekolah nanti' tambahnya.

Menanti pasukan SMK Bakai pada perlawanan berikutnya ialah SMK Agama Baling yang akan berlansung di padang SMK Agama Baling pada pada 21 Mac 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan