Rabu, Mac 24, 2010

Corat Coret Petang Rabu

Tiada Rezeki...

Teruskan perjuangan.... Cuba lagi di tahun hadapan

KUALA PEGANG,BALING, 24 Mac- Pasukan Bola Sepak SMK Bakai yang turun bermain dalam perlawanan terakhir petang tadi gagal menggalas misi mencipta kemenangan apabila tewas dengan jaringan 0-2 kepada SMK Kuala Pegang. Walaupun mempamerkan aksi-aksi yang menarik , bahagian serangan mensia-siakan banyak peluang keemasan dan tendangan-tendangan percuma membolehkan lawan mengambil kesempatan melakukan serangan balas yang menghasilkan gol. Ketinggalan 0-2, pasukan bimbingan Cikgu Nain terus cuba bangkit untuk mencari gol saguhati di hujung perlawanan, namun kesebelasan lawan mengukuhkan pertahanan dan berkubu di kawasan pintu gol mematahkan serangan sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini sekaligus melenyapkan impian SMK Bakai untuk meneruskan cabaran dalam saingan peringkat daerah pada tahun ini.


Pengadil 'One Malaysia'

Selain aksi menarik yang dipamerkan oleh pemain kedua-dua pasukan, satu perkara yang menarik perhatian penonton pada perlawanan ini ialah pengadil perlawanan. Perlawanan ini diadili oleh pengadil berbangsa Cina dan dibantu oleh pembantu pengadil berbangsa Melayu dan India. Secara tidak lansung perlawanan ini mempamerkan semangat dalam merealisasikan konsep '1 Malaysia' sebagaimana yang dihasratkan oleh pemimpin negara...........

Selasa, Mac 23, 2010

Kejohanan Bola Sepak Peringkat Zon

Sekadar Seri...



BAKAI, 23 Mac- Pasukan Bolasepak SMK Bakai gagal meneruskan aksi cemerlang seperti perlawanan menentang SMK Agama digelanggang lawan Ahad lalu yang berkesudahan dengan kemenangan bergaya 4-0, apabila hanya mampu mencatat keputusan seri dalam perlawanan bolasepak MSS Peringkat Zon menentang pasukan SMK Jerai petang tadi. Pasukan tuan rumah yang turun dengan jersi merah hitam beraksi baik dan mendominasi sebahagian besar perlawanan pada separuh masa pertama bertindak cemerlang sebaik sahaja wisel permulaan ditiup. Dengan sorakan padu penyokong dan hantaran-hantaran yang cukup kemas, SMK Bakai berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke 5 perlawanan apabila Mohd Jamil berjaya meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan dengan satu jaringan cantik yang berjaya mengelirukan penjaga gol lawan yang terpaku melihat bola menerjah jaring di penjuru kanan pintu gol. Gol semangat ini seolah-olah memberikan satu suntikan motivasi kepada pemain tuan rumah yang tidak henti-henti melancarkan serangan-serangan berbahaya dan bertali arus.

SMK Jerai berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke20 apabila pemain penyerang yang telah bersedia berada dikotak penalti gagal menanduk kemas hantaran silang yang cantik, di mana bola meliar melepasi palang gol yang terbuka luas. Peluang keemasan untuk tuan rumah melebarkan jaringan muncul pada minit ke 23 apabila Mohd Azahar yang hanya berhadapan dengan penjaga gol melepaskan sepakan padu di penjuru kanan pintu gol tetapi penjaga gol lawan telah bersedia untuk menepis keluar . Ketika perlawanan dilihat seolah-olah akan berkesudahan dengan 1-0 pada separuh masa pertama, penyerang lawan bijak mengambil kesempatan membuat sepakan jauh melintasi penjaga gol tuan rumah yang kelihatan terkeluar sedikit dari posisi, bola singgah di tiang kanan pintu gol sebelum melantun ke jaring bagi gol penyamaan.

Perlawanan separuh masa kedua menampilkan aksi-aksi yang kurang meyakinkan daripada kedua-dua pasukan apabila serangan-serangan yang dilancarkan sering dipatahkan oleh lawan masing-masing.Pasukan tuan rumah berpeluang membuat beberapa percubaan ke pintu gol lawan namun gagal mencipta jaringan. Permainan sering terganggu dan dihentikan beberapa kali diakhir waktu perlawanan akibat kecederaan pemain. Kedudukan seri 1-1 terikat hingga wisel penamat dibunyikan. Kedudukan ini agak menyulitkan laluan SMK Bakai untuk beraksi pada peringkat seterusnya sebelum beraksi dalam perlawanan terakhir menentang SMK Kuala Pegang di gelanggang lawan esok.

Jurulatih SMK Bakai (gambar kanan) ketika diminta komen menjelaskan bahawa pasukannya telah memberikan yang terbaik tetapi nasib agak tidak menyebelahi anak-anak buahnya. 'Kita turun dengan harapan besar untuk menang hari ini, tetapi kita gagal melakukannya.Saya berharap anak-anak buah saya cepat melupakan kekecewaan untuk melakar kejayaan pada hari ini dan fokus kepada perlawanan terakhir esok. Ruang kembali terbuka sekiranya kita mampu menang dengan jaringan yang besar, dan saya yakin jika persembahan yang konsisten diberikan,kita mampu melakukannya' tambahnya. Ketika ditanya stategi SMK Bakai bagi menghadapi perlawanan terakhir beliau dengan bersahaja berkata, ' No comment, saya mahu tidur awal malam ini'.

Sementara itu, Pengurus pasukan, Encik Maniraja ketika dihubungi memberi komen ringkas, 'dalam sukan bola sepak, apa saja boleh berlaku kerana bola itu bulat. Nothing is impossible. Kita terima apa sahaja keputusannya esok. Harapan saya pasukan ini dapat memberikan komitmen 100% untuk mencipta kemenangan besar dan seterusnya melayakkan diri untuk kita bersaing di peringkat daerah'.

Merenung jauh memikirkan nasib pasukan disamping cuba mengintai peluang........

Rabu, Mac 10, 2010

Kejohanan Bola Sepak MSS Peringkat Zon

SMK Bakai 1
SMK SAB 2
Pasukan bolasepak SMK Bakai gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada SMK Syed Abu Bakar dalam perlawanan sulung siri Kejohanan Bola sepak MSS Peringkat Zon yang berlansung pada 10 Mac 2010. Segalanya bermula apabila pemain lawan berjaya melepasi benteng pertahanan dan seterusnya melepaskan tendangan deras ke kanan pintu SMK Bakai yang gagal di tangkap kemas oleh penjaga gol, membolehkan pasukan lawan mendahului pada minit yang ke enam. Tersentak dengan jaringan itu, anak-anak buah Cikgu Nain dengan sorakan padu daripada penyokong-penyokong terus menyusun rentak dan membuat serangan bertali arus, namun sering dipatahkan oleh penjaga gol lawan. Walau bagaimanapun, kem SMK Bakai kembali ceria apabila Mohd Akmal pantas mengambil peluang daripada keadaan kelam kabut di depan pintu gol untuk menolak masuk bola ke mulut gol lawan bagi menyamakan kedudukan pada minit ke 15. SMK Bakai berpeluang sekali lagi untuk berada di hadapan pada minit ke 20 perlawanan apabila Mohd Akmal yang hanya berhadapan dengan penjaga gol gagal melakukan penyudah, apabila tendangan derasnya melambung tinggi melepasi palang gol. Kedudukan terikat seri 1-1 sehingga tamatnya perlawanan separuh masa pertama.

Permainan agak seimbang pada separuh kedua perlawanan dengan bola kebanyakannya berlegar di kawasan tengah padang dan barisan pertahanan SMK Bakai yang kemas sering memerangkap lawan dengan perangkap offside. Pada minit ke 49 perlawanan, Mohd Jamil yang mendapat hantaran silang berpeluang untuk membuat jaringan, namun sepakan lemahnya menyelamatkan pintu gol lawan. SMK Syed Abu Bakar seterusnya pantas membuat serangan balas dan kealpaan barisan pertahanan SMK Bakai membolehkan penyerang lawan melepasi barisan pertahanan dan seterusnya melepaskan sepakan padu dari sudut sukar di kanan pintu gol menggegarkan jaring walaupun cuba ditepis oleh penjaga gol membolehkan lawan mendahului pada minit ke 50. Selepas itu, SMK Bakai yang lebih banyak menguasai perlawanan melakukan serangan bertubi-tubi ke pintu gol lawan namun gagal mencipta jaringan sehingga tamatnya waktu perlawanan.

Cikgu Nain selaku jurulatih ketika diminta memberi komen menyatakan rasa puas hati terhadap persembahan yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya. 'Ini adalah perlawanan pertama dan kita bertemu dengan pasukan yang mempunyai reputasi yang lebih baik ,jadi ada sebahagian pemain yang bermain di bawah tekanan dan di bawah prestasi sebenar. Kita mempunyai peluang tetapi nasib tidak menyebelahi kita' katanya. 'Saya telah mengenalpasti kelemahan-kelemahan pemain dan akan melakukan tindakan pembetulan dengan segera. Saya percaya pemain saya mampu bangkit untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan berikutnya selepas cuti sekolah nanti' tambahnya.

Menanti pasukan SMK Bakai pada perlawanan berikutnya ialah SMK Agama Baling yang akan berlansung di padang SMK Agama Baling pada pada 21 Mac 2010.

Selasa, Mac 09, 2010

Penilaian Topikal 1

Penilaian Topikal 9-11 Mac 2010

Ujian atau peperiksaan merupakan instrumen penting dalam sistem persekolahan kerana keputusan ujian atau peperiksaan boleh membantu pihak sekolah khususnya guru-guru dan juga pelajar itu sendiri.Bagi guru, keputusan ini boleh dijadikan asas untuk mengukur prestasi proses P&P bagi sesuatu unit pembelajaran atu topik tertentu. Bagi pelajar pula, ia boleh digunakan untuk mengukur prestasi, menilai kelemahan dan kekuatan serta kefahaman terhadap tajuk-tajuk tertentu. Dengan lain perkataan, ujian atau peperiksaan merupakan elemen penting kepada pelajar sebagai persiapan untuk menghadapi peperiksaan yang lebih besar. Oleh itu, setiap pelajar harus serius dan fokus semasa menjawab ujian atau peperiksaan.Selalu berfikiran positif dan ingatlah ujian atau peperiksaan sebenarnya menentukan dimana 'KEDUDUKAN' anda...
Selamat menjawab soalan ujian

Program Motivasi SPM 2010

Matlamat jangka panjang...bla...bla...bidang perubatan...bla...bla...UM.....
matlamat jangka pendek...bla...bla...bla...SPM...semua gred A....
Monyet pakai songkok pergi Langkawi bawa botol Kicap....Iskhh banyak nak kena ingat ni...

Prasyarat Kejayaan : Knowledge, Workhard, Attitude...

Program Motivasi SPM 2010 bagi calon-calon SPM 2010 telah diadakan pada 7 Mac 2010 bertempat di Dewan Makanan Asrama,SMK Bakai. Program anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling merupakan salah satu strategi untuk menyuntik semangat pelajar-pelajar Tingkatan 5 sebagai persediaan penting untuk pelajar-pelajar menghadapi SPM 2010. Penceramah undangan ialah seorang perunding motivasi, Encik Hamdan bin Abdullah.


Adalah di harapkan peserta program ini dapat mengaplikasikan input yang di beri dengan sebaik mungkin. Ingat......Tiada Kejayaan Tanpa Pengorbanan




Rabu, Mac 03, 2010

Ceramah Maulidur Rasul 1431H/2010

'Mesej sambutan Maulidur Rasul perlu difahami dan dihayati' pesan Ustaz Fuad.

Orang berbudi, kita berbahasa - penyampaian cenderahati disempurnakan oleh Encik Othman bin Hassan, PK Kokurikulum.

Alunan selawat oleh guru dan pelajar mengakhiri majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah 1431 H.

Panitia Pendidikan Islam telah mengambil inisiatif menganjurkan satu program ceramah bersempena sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah tengahari tadi. Penceramah undangan ialah Al-Fadhil Ustaz Mohd Fuad bin Yahaya dari SMK Baling. Dalam ceramahnya yang mengambil masa hampir satu setengah jam, beliau telah mengemukakan beberapa mesej penting yang perlu difahami dan diambil iktibar oleh segenap lapisan umat Islam, diantaranya:

  • Rasulullah s.a.w. seharusnya menjadi model ikutan umat, kecelaruan timbul bila orang lain di pilih menjadi idola.
  • semua umat Islam wajib mengetahui sifat-sifat peribadi nabi, iaitu siddiq,amanah, tabligh dan fathonah dan seharusnya mampu mengaplikasikan sifat-sifat ini dalam kehidupan seharian.
  • kita seharusnya dapat menghayati dan mengamalkan segala yang disampaikan oleh nabi
  • Amalan selawat perlu dijadikan amalan harian sebagai tanda cinta dan kasih ke atas nabi.

Majlis diakhiri dengan acara zikir secara beramai-ramai oleh guru-guru dan pelajar. Sekalung ucapan tahniah kepada barisan jawatankuasa kerja yang bersaha keras untuk menjayakan majlis ini dan ucapan terimakasih kepada semua pelajar yang memberikan kerjasama yang baik sepanjang majlis berlangsung.