Isnin, April 23, 2012

Kita Juara

Anak-anak desa juara

Oleh Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my
BIARPUN pernah tewas dalam saingan sama sebelum ini, namun berkat kesungguhan akhirnya membawa tuah kepada pasukan Baling/Sik apabila muncul juara Kejohanan Bola Baling Lelaki Bawah 18 Tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah (MSSK) di Dewan Futsal Tun Abdul Razak, Baling, Kedah, kelmarin.
Pasukan itu yang diwakili pelajar SMK Bakai berjaya menewaskan pasukan Kota Setar dengan jaringan 5-4 sekali gus membuktikan anak-anak kampung mampu menyaingi kehebatan pasukan elit dari bandar.
Pengerusi Teknik Bola Baling Daerah Baling, Mohamad Naim Ishak berkata, tahun lalu pasukannya tewas kepada pasukan Kota Setar 1-3 sekali gus menafikan peluang mereka untuk bergelar juara pada saingan akhir.
Menurutnya, kejayaan yang diperoleh anak buahnya diketuai kapten, Ibrahim Zakaria adalah hasil komitmen padu setiap pemain selain latihan yang berterusan sejak awal tahun.
“Saya puas hati dengan corak permainan pasukan ini yang nyata menggunakan kekuatan mereka dengan sepenuhnya. Malah, saya kagum dengan semangat ditunjukkan setiap pemain dan berharap mereka dapat mengekalkan rentak permainan sama pada pertandingan akan datang,” katanya.
   Katanya, strategi yang digunakan iaitu serangan pantas selain kelincahan mengawal bola berjaya menembusi gawang gol pasukan lawan membolehkan pasukannya mewakili Kedah ke saingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dari 2 hingga 9 Jun ini di Kelantan.
“Saya harap pasukan Baling/Sik dapat meningkatkan kekuatan mereka untuk memperoleh kemenangan di peringkat kebangsaan pula,” katanya.
   Pada pertandingan itu, sebanyak tujuh daerah menyertainya iaitu Baling/Sik, Kota Setar, Pendang, Kulim/Bandar Baharu, Kuala Muda/Yan, Padang Terap, Langkawi dan Kubang Pasu.

(disalin dari akhbar Harian Metro bertarikh 23 April 2012 )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan