Selasa, Januari 26, 2010

Inspirasi Kejayaan




Semanis kejayaan......Tuan Pengetua sedang menyampaikan plag penghargaan kepada pelajar-pelajar cemerlang PMR Tahun 2009
Pada pagi ini, bertempat di Dataran Perhimpunan sekolah, telah diadakan satu majlis ringkas tetapi penuh bemakna , iaitu majlis penyampaian cenderahati khas kepada dua orang pelajar cemerlang PMR tahun 2009. Dua pelajar tersebut ialah Mohd Firdaus Mohd Yusoff dan Nur Asyikin bt. Samsuri, yang masing-masing memperolehi keputusan 8A1C dan 7A1B1C.

Ketika diminta berkongsi kejayaan bersama-sama pelajar lain,Mohd Firdaus, 16 dari Kampung Batu 7, Binjul menjelaskan bahawa antara amalan yang menyumbang kepada kejayaan beliau dalam peperiksaan baru-baru ini ialah belajar secara konsisten sejak awal tahun, dan sentiasa membuat ulangkaji bagi tajuk-tajuk yang telah dipelajari dengan segera.'Saya juga sentiasa fokus semasa proses P&P didalam kelas untuk memastikan saya memahami sepenuhnya isi pelajaran yang disampaikan oleh guru' tambahnya. Mohd Firdaus, anak seorang penoreh getah menyimpan cita-cita untuk menganggotai pasukan keselamatan pada masa hadapan.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Nur Asyikin bt. Samsuri. 16 menjelaskan bahawa bagi memperolehi kejayaan yang cemerlang, seseorang individu mestilah mempunyai kualiti-kualiti tertentu seperti disiplin diri yang tinggi, berusaha dengan bersungguh-sungguh serta tidak mudah menyerah kalah.'Seseorang pelajar juga haruslah sepanjang masa menghormati guru kerana apabila kita menghormati guru, ilmu yang dipelajari akan akan lebih mudah di fahami dan lebih diberkati' tambahnya. Beliau berharap kejayaan ini kan menjadi pendorong untuk belaiu berusaha dengan lebih keras bagi merealisasi impiannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan .
Tuan Pengetua SMK Bakai, Encik Abdul Wahi bin Wan Embun telah sudi menyampaikan cenderahati kepada pelajar-pelajar ini sebagai pengiktirafan kepada mereka yang telah menunjukkan kecemerlangan dan mengharumkan nama sekolah.


Ulasan Jurublog:
Moralnya, kejayaan adalah milik sesiapa sahaja yang berusaha dengan bersungguh-sungguh dan tidak mengenal putus asa tanpa mengira apa latarbelakang mereka. Rakan -rakan kita telah membuktikan bahawa mereka mampu mencipta kejayaan walaupun bersekolah di sekolah biasa dan diajar oleh guru biasa. Bagaimana dengan kita? Kita belajar di sekolah yang sama ,kita diajar oleh guru yang sama, menggunakan buku teks yang sama, soalan peperiksaan yang sama tetapi kita gagal mencipta kejayaan seperti mereka. Fikir-fikirkanlah ..Mudah-mudahan kejayaan mereka akan menjadi sumber inspirasi dan dorongan yang kuat kepada kita untuk sama-sama mencipta kejayaan pada masa hadapan.Jika mereka mampu melakukannya, kita juga mampu dengan syarat kita bersedia untuk berubah dan sentiasa fokus kepada kejayaan....Bertindaklah sekarang ,Selamat Belajar dan Selamat Mendaki Ke Puncak Kejayaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan