Selasa, Januari 26, 2010

Inspirasi Kejayaan




Semanis kejayaan......Tuan Pengetua sedang menyampaikan plag penghargaan kepada pelajar-pelajar cemerlang PMR Tahun 2009
Pada pagi ini, bertempat di Dataran Perhimpunan sekolah, telah diadakan satu majlis ringkas tetapi penuh bemakna , iaitu majlis penyampaian cenderahati khas kepada dua orang pelajar cemerlang PMR tahun 2009. Dua pelajar tersebut ialah Mohd Firdaus Mohd Yusoff dan Nur Asyikin bt. Samsuri, yang masing-masing memperolehi keputusan 8A1C dan 7A1B1C.

Ketika diminta berkongsi kejayaan bersama-sama pelajar lain,Mohd Firdaus, 16 dari Kampung Batu 7, Binjul menjelaskan bahawa antara amalan yang menyumbang kepada kejayaan beliau dalam peperiksaan baru-baru ini ialah belajar secara konsisten sejak awal tahun, dan sentiasa membuat ulangkaji bagi tajuk-tajuk yang telah dipelajari dengan segera.'Saya juga sentiasa fokus semasa proses P&P didalam kelas untuk memastikan saya memahami sepenuhnya isi pelajaran yang disampaikan oleh guru' tambahnya. Mohd Firdaus, anak seorang penoreh getah menyimpan cita-cita untuk menganggotai pasukan keselamatan pada masa hadapan.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Nur Asyikin bt. Samsuri. 16 menjelaskan bahawa bagi memperolehi kejayaan yang cemerlang, seseorang individu mestilah mempunyai kualiti-kualiti tertentu seperti disiplin diri yang tinggi, berusaha dengan bersungguh-sungguh serta tidak mudah menyerah kalah.'Seseorang pelajar juga haruslah sepanjang masa menghormati guru kerana apabila kita menghormati guru, ilmu yang dipelajari akan akan lebih mudah di fahami dan lebih diberkati' tambahnya. Beliau berharap kejayaan ini kan menjadi pendorong untuk belaiu berusaha dengan lebih keras bagi merealisasi impiannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan .
Tuan Pengetua SMK Bakai, Encik Abdul Wahi bin Wan Embun telah sudi menyampaikan cenderahati kepada pelajar-pelajar ini sebagai pengiktirafan kepada mereka yang telah menunjukkan kecemerlangan dan mengharumkan nama sekolah.


Ulasan Jurublog:
Moralnya, kejayaan adalah milik sesiapa sahaja yang berusaha dengan bersungguh-sungguh dan tidak mengenal putus asa tanpa mengira apa latarbelakang mereka. Rakan -rakan kita telah membuktikan bahawa mereka mampu mencipta kejayaan walaupun bersekolah di sekolah biasa dan diajar oleh guru biasa. Bagaimana dengan kita? Kita belajar di sekolah yang sama ,kita diajar oleh guru yang sama, menggunakan buku teks yang sama, soalan peperiksaan yang sama tetapi kita gagal mencipta kejayaan seperti mereka. Fikir-fikirkanlah ..Mudah-mudahan kejayaan mereka akan menjadi sumber inspirasi dan dorongan yang kuat kepada kita untuk sama-sama mencipta kejayaan pada masa hadapan.Jika mereka mampu melakukannya, kita juga mampu dengan syarat kita bersedia untuk berubah dan sentiasa fokus kepada kejayaan....Bertindaklah sekarang ,Selamat Belajar dan Selamat Mendaki Ke Puncak Kejayaan.

Ahad, Januari 03, 2010

Program Orientasi Tingkatan 1

Para peserta khusyuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Kaunselor Pelajar

Seramai 182 pelajar Tingkatan Satu mengikuti program Orientasi Tingkatan Satu bagi tahun 2010 bermula hari ini. Program ini adalah bertujuan untuk membekalkan input-input penting kepada pelajar sebagai persediaan kepada pelajar bagi menempuh pelbagai cabaran-cabaran baru sebagai pelajar sekolah menengah. Aktiviti disusun menjurus kepada usaha-usaha untuk menerapkan budaya sekolah, sistem pembelajaran dan kemudahan-kemudahan yang disediakan.

Tuan Pengetua sedang menyampaikan ucapan perasmian program

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Pengetua SMK Bakai, Encik Abdul Wahi bin Wan Embun. Dalam ucapannya Tuan Pengetua menggesa pelajar-pelajar agar dapat mengubah sikap dan menjadi pelajar yang lebih matang. Pelajar-pelajar juga diingatkan supaya sentiasa berpegang kepada prinsip ' Hari ini lebih baik dari hari semalam, dan esok lebih baik daripada hari ini' dan sentiasa bertekad untuk menjadi pelajar yang cemerlang.

Program yang diselaraskan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling ini di jangka akan berakhir pada hari Khamis ini. Adalah diharapkan pelajar-pelajar dapat menyerap input-input yang diberikan dengan sebaik mungkin dan dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Jurublog mewakili warga SMK Bakai menghulurkan ucapan selamat berorientasi.....


Berwajah Baru


SMK Bakai berwajah baru sempena sesi persekolahan 2010 dengan pemasangan papan tanda gergasi nama sekolah di bangunan pentadbiran. Pemasangan papan tanda baru ini sudah pasti menjadi mercu tanda baru sekolah dan memudahkan pihak luar yang berurusan dengan sekolah.

Jumaat, Januari 01, 2010

Selamat Tahun Baru


Selamat tinggal tahun 2009. Selamat datang Tahun 2010 . Alhamdulillah, kita bersyukur kerana tuhan masih menyayangi dan di panjangkan umur kita. Bila saja masuk tahun baru, bermakna kita menjadi semakin dewasa dan semakin matang. Kita setahun lebih berusia berbanding sebelumnya.

Satu perkara yang seringkali dibincangkan bila tibanya tahun baru ialah azam tahun baru. Biasanya azam tahun baru ini merujuk kepada apa yang ingin kita capai. Setiap individu mempunyai azam yang tersendiri. Terpulang kepada individu sendiri bagaimana nak mencapai azam murni masing-masing. Tepuk dada tanya iman. Kepada anak-anak pelajar, kita percaya bahawa semuanya mengharapkan sinar kejayaan pada tahun 2010 ini . Justeru itu, bersegeralah berubah, tingkatkan semangat dan usaha untuk mencapai matlamat yang di impikan. Jangan biarkan azam membara kita menjadi slogan sia-sia yang akhirnya hilang bersama kedewasaan kita. Kata-kata hikmat berikut wajar direnungi : 'Jangan takut jika matlamat kita gagal dicapai kerana kita masih mempunyai ruang dan peluang, yang lebih di takuti adalah tiada apa-apa matlamat untuk dicapai'

Kepada rakan-rakan guru, staf sokongan , pelajar-pelajar , seluruh warga SMK Bakai serta semua pengunjung blog ini diucapkan 'Selamat menyambut tahun baru'.....