Rabu, Februari 10, 2010


Salam Perpisahan


Selamat jalan dan selamat bertugas di tempat baru diucapkan kepada dua orang bekas warga pendidik SMK Bakai iaitu Puan Hayati bt Yunos (gambar kiri) dan Puan Hashimah Jamil (gambar kanan). Berkuatkuasa 7 Februari 2010 secara rasminya Puan Hayati bt Yunos, telah ditukarkan ke SMK Che Tom ,Sungai Petani dan Puan Hashimah bt Jamil, telah ditukarkan ke SMK Aman Jaya, Sungai Petani atas permohonan peribadi. Mula bertugas di SMK Bakai mulai 1.1.2001, Puan Hayati adalah seorang guru KHB manakala Puan Hashimah adalah guru mata pelajaran Kimia telah menjadi warga sekolah ini mulai 2.1.2005. Sesungguhnya pertukaran mereka adalah satu kehilangan besar buat seluruh warga sekolah kerana kedua-dua guru ini adalah guru yang berpengalaman ,komited dan berdedikasi.


Selamat meneruskan perjuangan dan selamat mencurah bakti di sekolah baru.Serangkap pantun ditujukan buat kalian berdua:

Desa Melati damai dan tenang
Lalu lalang sekawan rusa
Jasa dan bakti tetap dikenang
Tak mungkin hilang ditelan masa

Selasa, Februari 09, 2010

Ceramah Motivasi PMR



Antara peserta yang menghadiri Program Ceramah Motivasi PMR
'Setiap pelajar harus menyimpan cita-cita yang tinggi , kerana ini akan menjadi faktor pendorong yang kuat kepada pelajar untuk belajar dengan lebih gigih' , gesa Tuan Pengetua ketika menyampaikan ucaptama dalam Program Ceramah Motivasi yang telah diadakan di Dewan Makanan Asrama tengahari tadi. Program yang diadakan ini bertujuan untuk meningkatkan motivasi pelajar PMR 2010 sebagai persediaan awal untuk melonjakkan pencapaian dalam peperiksaan yang bakal mereka hadapi. Program yang dikelolakan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling ini adalah salah satu daripada strategi penting dalam pelan tindakan akademik untuk meningkatkan peratus pencapaian dalam peperiksaan PMR 2010. Program ini melibatkan penyertaan semua pelajar-pelajar Tingkatan 3 yang diadakan mulai jam 12.00 tengahari dan berakhir pada pukul 2.00 petang.

Meneruskan ucapannya, Tuan Pengetua juga berharap pelajar-pelajar Tingkatan 3 pada tahun ini dapat menangani semua masalah-masalah dalam pembelajaran dan menganggap semua masalah ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan kecemerlangan diri dan sekolah.

'Kesusahan adalah cabaran bukannya pengahalang,buktinya ramai pelajar yang susah mampu melakar kejayaan cemerlang'- Tuan Pengetua

Program ceramah ini seterusnya dikendalikan oleh Cikgu Faraliza bt. Ahmad Shukri, guru Bahasa Inggeris yang berpengalaman luas mengajar di negeri lain dan kawasan pedalaman sebelum ini, yang berkongsi pengalaman suka duka beliau semasa menjadi pelajar. Gaya bersahaja , tegas dan sesekali di selangi dengan humor spontan menarik perhatian pelajar sepanjang ceramah beliau selama hampir satu jam setengah. Dalam ceramahnya beliau menegaskan bahawa pelajar sekolah ini mempunyai potensi besar untuk mencipta kejayaan dengan syarat pelajar perlu mengubah sikap kearah yang lebih positif terhadap pelajaran.' Setiap pelajar juga harus mempunyai matlamat yang jelas, kerana bila pelajar ada matlamat, ia akan menggerakkan motivasi dalaman pelajar' katanya.

Bersemangat......suntikan motivasi daripada Cikgu Faraliza

Beliau seterusnya menegaskan bahawa antara formula penting kejayaan ialah pelajar-pelajar perlu menanam sifat ingin tahu dan selalu bertanya dengan guru.Sepanjang pengamatan beliau sebagai guru, beliau melihat faktor hubungan baik guru dan pelajar memberi impak positif ke arah pencapaian pelajar. 'Budaya suka bertanya dan menghormati guru seharusnya menjadi amalan setiap pelajar jika inginkan kejayaan cemerlang' tambahnya.

Di akhir ucapannya beliau sekali lagi menegaskan bahawa untuk berjaya dengan cemerlang, pelajar harus fokus kepada pelajaran , berusaha secara berterusan dan sentiasa mempunyai semangat yang tinggi untuk mencapai kejayaan.

Ulasan Jurublog:

Adalah diharapkan program ini akan memberi impak positif kearah meningkatkan semangat dan motivasi para pelajar untuk berjaya dengan cemerlang. Guru-guru sedaya upaya akan terus komited untuk membantu para pelajar melonjakkan pencapaian akademik pelajar dengan syarat setiap pelajar mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menggenggam kejayaan. Nah. perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan, bertindaklah sekarang..........